As life goes on, where are we heading to?

Ahlan Wa Sahlan Wa Marhaban Bikum

Apa khabar Iman anda hari ini?

Latest

Spring Allergy

Sudah 2 minggu saya tidak berhenti bersin, batuk dan hidung sentiasa berair dan tersumbat. Ada satu malam tak dapat nak tidur disebabkan hidung sudah seperti paip bocor. Dan dalam 2 minggu ini juga la sudah 3 kali saya ke Student Health untuk mendapatkan ubat.  Memang musimnya. Dalam masa 3 tahun di sini, tak pernah pula kena seperti ni. Check internet, ini simptom-simptom terkena Spring Allergy. Musim bunga tiba awal tahun ini. Doktor kata “Pollen Count” di sini tinggi. Nampak gaya tak dapat nak main bola di luar. Ada sekali saya cuba, ingatkan masa tu dah hampir sembuh. Baru main 20 minit, terus pening kepala dan batuk jadi makin teruk pulak.  Kali yang ketiga ke Student Health, doktor beri ubat yg lebih kuat. Alhamdulillah sekarang beransur pulih.

Bila tiba masa-masa ujian melalui sakit, demam seperti ini, saya terfikir…

Sebagai manusia, kita tidak pernah lari dari melakukan kesilapan mahupun dosa. Sama ada sengaja mahupun tidak sengaja. Kita juga selalu akan cuba memohon ampun dan bertaubat. Moga sakit/demam/not feeling well/sick/tak sihat dan sebagainya itu menjadi peringatan dan tazkirah yang dekat buat kita di kala itu.

Sakit itu Kafarah Dosa
p/s - peringatan penting buat kita

Allah memberikan kita satu ujian kecil seperti Sakit ini sebagai peringatan buat kita. Kita mungkin pada akhirnya berjaya sembuh dari sakit dengan mangambil ubat-ubat doktor. Akan tetapi, apa yang lebih penting utk kita sedari ialah adakah kita berjaya sembuh dari segi ruhani dan hati kita? atau adakah kita berjaya mendapat mesej tersirat yang Allah mahu berikan kepada kita selepas sembuhnya kita?

Maksud saya, Adakah selepas sembuhnya kita dari satu penyakit itu, kita bertambah nekad untuk meningkatkan lagi amal fardhi kita? Bukan apa. Kita perlu faham bahawa tempoh kita sakit itu bukanlah hanya ujian fizikal semata-mata dari Allah. Tetapi, ianya ujian buat Iman kita, buat Taqwa kita dan juga buat Kebergantungan (Tawakal) kita kepada Allah. Itu lah yang sepatutnya lebih mengesani diri kita.

Selalunya selepas ditimpa satu penyakit, kita akan sentiasa menjaga diri kita supaya tidak lagi mendapat penyakit yang sama. Bak kata orang “Prevention is Better than Cure”. Maka, bagaimana pula dengan penyakit2 hati seperti riak dan ‘ujub atau penyakit2 seperti merasa suka berbuat perkara yang dilarang Allah s.w.t? Kalau kita sentiasa berhati-hati dan even check internet utk simptom2 spt Spring Allergy misalnya, kenapa tidak kita kenal pasti virus2 dan simptom2 yg membawa kepada penyakit2 riak, ‘ujub dan merasa suka berbuat maksiat tadi. Nah, ini yang kita perlu sama-sama muhasabah diri kita. Terutama diri saya sendiri.

Sakit juga merupakan ruang dan peluang yang Allah berikan kepada kita utk bermuhasabah dan melihat kembali segala dosa-dosa yang telah kita lakukan. Sekiranya kita berjaya melihat ruang dan peluang ini, langkah seterusnya ialah berubah dan terus melakukan perubahan ke arah kebaikan buat diri ini.

Moga Allah beri kekuatan kepada kita semua. Semoga Allah menyembuhkan diri kita dari segala bentuk penyakit2 fizikal mahupun penyakit2 hati dan ruhani kita. Moga Iman kita bertambah kuat.

Maksudnya: “Sesungguhnya seorang mukmin itu jika ditimpa penyakit, kemudian disembuhkan oleh Allah daripadanya (penyakit tersebut), maka ia (penyakit itu) menjadi kaffarah bagi dosa-dosanya yang telah lalu dan menjadi peringatan baginya untuk masa depannya. Sedang seorang munafik, apabila dia sakit lalu disembuhkan, maka dia seperti unta yang ditambat oleh pemiliknya, lalu mereka melepaskannya. Dia (orang munafik itu) tidak tahu mengapa dia ditambat dan dia tidak tahu mengapa dia dilepaskan.” (Hadis riwayat Abu Daud)

Video

Number One 4 Me

Bila rasa lemah menjelma kembali….

Bila rasa lemah menjelma kembali….

via Bila rasa lemah menjelma kembali…. | Peduli Ummah.

Senario A – Engkau semua jangan buat bising ok ! Aku tengah down ni… nanti aku campak semua barang-barang atas meja ni !

Senario B – Aduuuuh, sedihnya rasa ! Sampai hati dia menolak lamaranku….. Aku  tengah down betul ni. Kau pergilah jauh-jauh sebab aku memang perlukan ketenangan sekarang ni.

Senario C – Tak mengapalah, ini urusan peribadi. Aku dah studi macam nak mati tapi keputusan exam masih tak cukup makan. Biarlah aku menyendiri sebab aku tengah down ni.

Sememangnya rasa lemah atau rasa ‘down’ atau rasa ‘futur’ itu kadangkala menyapa diri. Setiap yang bernama insan pasti akan berhadapan dengan ujian di dalam hidupnya. Kadang-kala ujian dan diikuti dengan ujian yang datang bertimpa-timpa yang mungkin menyebabkan kita sukar untuk bangkit kembali.

Setelah ujian datang :

  1. Ujian ini boleh membuatkan kita semakin kuat daripada sebelumnya
  2. Kadang-kala kita boleh pintas bangkit semula ke kekuatan yang sama
  3. Kadang-kala ujian ini boleh membuatkan kita rebah tersungkur
  4. Kadang-kadang dengan satu ujian sahaja kita boleh hilang arah dan boleh membuat keputusan yang luar biasa

Andainya kita bangkit semula, maka syukur kepadaNya kerana kita berjaya melepasi ujian ini dan bakal menyaksikan bahawa kita akan menjadi insan yang lebih tabah dan lebih berjaya di masa depan.

Namun jika gagal bangkit, kita bakal melalui jalan buntu mahupun membuat laluan baru yang penuh berliku dan tidak mustahil ianya mungkin bertentangan dengan arus perjalanan yang pernah kita lalui sebelum ini.

Adakah sinar mentari di hari esok? Bagaimana kita akan menghadapinya?

Kita harus menghadapi setiap ujian yang ditempuhi dengan bersangka baik kepada Allah swt. Sudah pasti di sana ada hikmah dan kebaikan di dalam setiap perkara yang berlaku yang mungkin tidak kita ketahui maksudnya.

Firman Allah swt yang bermaksud :

“Diwajibkan atas kamu berperang, padahal berperang itu adalah sesuatu yang kamu benci. Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.” – [Surah Al-Baqarah, 2: 216]

Seterusnya kita boleh menghadapi ujian ini dengan:

  1. Beristighfar dan berdoa memohon pertolongan daripada Ilahi
  2. Bermuhasabah diri, ujian ini mungkin juga disebabkan kesilapan atau dosa-dosa kita sendiri
  3. Menyuarakan rasa hati kepada ke dua orang tua kita atau ‘orang lama’ atau tokoh yang kita kenali
  4. Berbincang dan meluahkan perasaan dengan pendidik atau ‘murabbi’ kita
  5. Berkongsi permasalahan dengan teman atau kenalan yang rapat
  6. Jangan ikutkan sangat perasaan down dan emosi diri
  7. Menyebukkan diri dengan kegiatan dan aktiviti luar yang sihat

Masih bersedih ?

  1. Ambillah sedikit masa di sebelah keheningan malam untuk bertadabbur dengan ayat-ayat Allah swt sebelum tidur.
  2. Bersolat taubat dan menginsafi kesalahan diri
  3. Masuk tidur lebih awal di dalam keadaan berwudhu
  4. Bangun di awal pagi untuk mendapatkan ketenangan bermunajat kepada Ilahi
  5. Bersolat tahajjud sambil menyatakan rasa atau hasrat hati kepada Ilahi di dalam sujud yang terakhir dengan rasa penuh rendah diri dan berharap kepadaNya.

Ingatlah akan janji Allah swt di dalam al Quran yang bermaksud,

” … Barangsiapa bertaqwa kepada Allah, nescaya Dia akan membukakan jalan keluar bagiNya, dan Dia memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangkanya. Dan barangsiapa bertawakkal kepada Allah, nescaya Allah akan mencukupkan (keperluan)nya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusanNya. Sungguh, Allah telah mengadakan ketentuan bagi setiap sesuatu.” –

( Surah At-Talaq, 65: 2-3)

Masih adakah harapan untuk bangkit kembali?

Bukankah semua ujian ini datangnya dari Allah swt? Ada kemungkinan besar bahawa Allah swt menyimpan sesuatu yang lebih baik untuk kita yang tidak kita ketahui apa yang bakal berlaku selepas ini. Jadi, kepada siapakah lagi yang harus kita harapkan jika tidak dikembalikan kepadaNya kerana Dia adalah yang Maha Berkuasa dan Penyelesai kepada semua masalah serta ujian-ujian kehidupan.

Jom ! Mari kita bangkit agar terus jadi kuat….!

Kebangkitan Mesir…

dipetik dari ,

http://inijalanku.wordpress.com/2011/01/30/medan-at-tahrir-kaherah-menjadi-medan-asy-syuhadak/

Maidan At-Tahrir, perkarangan terpenting di ibukota Kaherah. Kelihatan Masjid Ibadur Rahman. Di sebelah kirinya bangunan melengkung, ikon (mercu tanda) medan tersebut dipanggil “Mujammak”. Protes aman tidak sepatutnya dibalas dengan peluru hidup. Namun sekiranya cara aman tidak dimengerti, Allah mengajar umat Islam hidup dengan kekuatan untuk memenangkan Kebenaran dengan ganjaran yang besar.

Kini medan perkarangan terpenting di Kaherah, Maidan At-Tahrir dipanggil Maidan Asy-Syuhadak. Masjid kecil di medan tersebut, Masjid Ibadur Rahman, setakat jam 3.00 pagi tadi ditempatkan 13 orang yang syahid dan 83 orang yang cedera ditembak polis Mubarak. Ia masjid yang banyak nostalgia peribadi. Maidan At-Tahrir salah satu tempat saya mencari nafkah, bekerja sendiri mencari tiket kapalterbang untuk pelajar-pelajar Malaysia di Mesir secara kecil-kecilan, tempat buat Visa Haji guna berniaga di Tanah Suci disetiap Musim Haji, semasa 8 tahun belajar di Mesir menyara keluarga 9 anak beranak ketika itu. Masjid tersebut tempat saya sering bersolat di situ, kali terakhir bulan Ramadan yang lalu. Dr Yusuf Al-Qardhawy, berasal Mesir kini menetap di Qatar, seperti rakyat di Mesir, meminta Mubarak meninggalkan Mesir dan menyerahkan negara ditentukan masadepannya  oleh rakyat secara bebas.

<Kenyataan media Mursyid Am Ikhwan Muslimin, Dr Mohd Badi’ mengenai Intifadhah Mesir 2011>

Maidan At-Tahrir juga tempat yang paling strategik. Di sana terletak Kementerian Dalam Negeri, pusat mengawal keselamatan dalam negeri, dan dalam istilah amali banyak negara-negara umat Islam hari ini, ia pusat menjaga kekuasaan pemerintah dalam berhadapan dengan pembangkang, suatu budaya yang langsung tidak ada di negara-negara maju seperti Amerika, Australia dan kebanyakan Negara-negara Barat. Sepanjang saya tinggal di Barat selama 5 tahun, pembangkang atau “Opposition” adalah dihormati oleh pemerintah, dikira didalam dan menyempurnakan sistem pemerintahan negara, ketuanya punya pejabat sendiri di Parlimen dan dapat ruang secukupnya di televisyen dan akhbar resmi negara. Ini tidak berlaku dibanyak Negara Ketiga, atau lebih tepat lagi dinegara bermentaliti kelas ketiga seperti banyak negara-negara umat Islam, malangnya (sorry to say). Ketika saya menjawat Presiden Persatuan Pelajar Malaysia Mesir tajaan Kedutaan Malaysia di Kaherah, saya pernah masuk ke Kementerian Dalam Negeri tersebut secara resmi. Di perkarangannya saya lihat ramai lelaki yang ditutup mata, menunggu giliran soal siasat. Mungkin mereka dari kumpulan Islam yang berbagai.

Maidan At-Tahrir. Berdekatan dengan medan ini juga terletak Stesen TV Mesir, salah satu tempat dan institusi terpenting dalam negara dan kestabilan pemerintah.

“Maidan” atau medan bererti tempat lapang dan “At-Tahrir” bererti Kemerdekaan. Kini mereka yang berdemo di sana memanggilnya Maidan Asy-Syuhadak bagi memperingati teman-teman mereka yang gugur syahid dalam Intifadhah (Kebangkitan) pada hari-hari 25, 28 dan 29 Januari 2011 lalu, yang belum pernah disaksikan oleh Mesir sejak dahulu. Jika kebangkitan ini berjaya menumbangkan regim diktator Mesir, hampir pasti nama Maidan Asy-Syuhadak akan kekal.“Katakanlah kepada mereka, ‘Kamu tidak menanti kami melainkan salah satu dari dua kebaikan (iaitu syahid atau menang) … ” (Surah At-Taubah). Hari ini bagi rakyat Mesir, kedua-dua kesudahan bagi mereka adalah baik, samada syahid mendapat syurga atau menang hidup mulia di dunia (dan Akhirat).

Maidan At-Tahrir. Kelihatan Museum Kaherah (bangunan merah), didalamnya ada banyak mumi firaun termasuk Firaun Ramses II, zaman Nabi Musa as.

Sekiranya mereka takut syahid, lalu meninggalkan Intifadhah ini, mereka akan terus hidup dan balik ke rumah-rumah mereka seperti kita disaat ini. Sebahagian akan berkata cukuplah dapat hidup, akan tetapi belum tentu mereka hidup mulia. Ini adalah kerana :

  1. Regim yang memerintah mereka lebih mengutamakan agenda Barat lebih dari kepentingan mereka dalam mengurus negara dan rakyat. Syariah Islam tidak dilaksanakan sepenuhnya yang menjamin kesejahteraan hidup mereka di dunia dan Akhirat. TV dan majallah mereka hampir semua berunsur Barat yang merosakkan moral, akhlak dan akibah disamping menghalang generasi mereka dari memahami risalah umat Islam dalam memimpin dan membimbing dunia dengan cahaya petunjuk Ilahi seperti peranan gemilang Mesir dikurun-kurun lampau. Apabila Gaza, Palestin dikepung dari mendapat makanan dan ubat-ubatan sejak 2006, diserang oleh Israel pada 2008 dan terus menerus ditindas hingga kini, Mesir tidak membantu sebaliknya tunduk menurut apa yang dikehendakki oleh Israel melalui arahan Amerika. Diantaranya ialah menutup lebih ketat sempadannya dengan Gaza, membina tembok bawah tanah dengan keluli tahan lasak bagi menutup terowong-terowong dan kini membina tembok atas tanah. Begitu sekali ketundukan kita, umat Kebenaran, dihadapan umat Barat !!
  2. Negara Mesir yang begitu kaya dengan hasil bumi dan kedudukan strategik tidak dikecapi kekayaannya oleh kebanyakan rakyatnya melalui pengurusan kerajaan. Mereka yang hidup sederhana dan baik disegi ekonomi adalah mereak yang bekerja sendiri. Ketika saya di sana 1989-1997, ketika doktor graduan di Malaysia mendapat gaji mula kira-kira RM2500-3000 sebulan, seorang doktor di Mesir mendapat gaji mula sebanyak RM100 sebulan sahaja, dan RM120 jika baru lulus dan menjadi doktor pakar !! Sedang harga beras,gula, daging dsb kecuali sayuran dan buahan adalah hampir sama dengan Malaysia ketika itu. (Hari ini, setelah berlaku kenaikan petrol 2 tahun lalu, kebanyakan harga adalah lebih mahal dari Malaysia). Mesir tersangat kaya melalui kutipan yuran laluan kapal-kapal laut melalui Terusan Suez, terusan paling penting didunia, namun semua kekayaan tersebut tidak bermakna bagi kebanyakan penduduknya. Oleh itu kebanyakan professional mereka samada bekerja swasta atau mempunyai kerja sampingan seperti membawa teksi, menjual ikan dan sebagainya. Pernah seorang akauntan berbangsa Australia baru memeluk Islam belajar bahasa Arab sebentar di Mesir. Dia tidak percaya apabila saya memberitahunya tentang gaji-gaji ini sehinggalah suatu hari apabila emaknya datang menziarahinya dan selepas itu mahu ke Cairo Airport untuk pulang ke negaranya.  Diluar rumah saya menahan sebuah teksi. Didalam teksi ke airport, dia kata dia risau emaknya yang tua tidak tahu kemana nak dituju ketika emaknya berseorangan di dalam airport nanti. Saya berbual dengan pemandu teksi, dan pemandu teksi kata nanti dia tolong. Saya katakan pada sahabat Australia ini seperti yang dikatakan oleh pemandu teksi, namun beliau masih risau kerana kita boleh tolong emaknya di luar airport, sedang dia risau bagaimana keadaan emaknya ketika di dalam airport. Pemandu teksi kelihatan tenang sambil berkata jangan risau. Setiba di airport, pemandu teksi tolong membawa beg-beg masuk ke dalam airport setelah dia mengambil dan memakai lencana khas di bajunya. Rupa-rupanya beliau, seorang pemandu teksi, adalah juga seorang akauntan kanan Cairo International Airport !! Baru sahabat saya ini dapat mempercayai masib umat Islam yang cuba saya sampaikan kepadanya. Apa yang berlaku di negara-negara Arab banyak tidak tergambar oleh mereka yang tidak pernah hidup di sana. Bagi saya, memahaminya sangat membantu memahami perjuangan Islam itu sendiri dan hakikat pertarungan antara Haq dan Batil, bukan sahaja di Mesir, tetapi di seluruh dunia !
  3. Seseorang itu mulia apabila dia hidup bebas, boleh membuat keputusan bebas dan terbaik untuk diri, keluarga dan umatnya demi kebaikannya di dunia dan Akhirat. Ini termasuk kebebasan bersuara yang benar dan membina kepada sesiapa termasuk pemerintah, keadilan dalam sebarang pendakwaan keatas dirinya “innocent unless proven guilty” dan lain-lain hak diri insan yang kemuncak ialah kebebasan dalam mendengar kempen di televisyen, menilai parti atau badan yang terbaik dan seterusnya kebebasan mengundi dalam Pilihanraya. Kesemuanya tidak dikecapi di Mesir. Sebaik Iraq berjaya ditawan oleh Amerika tahun 2003, Presiden Bush memberi alasan kepada dunia bahawa Amerika cuma hendak “mendemokrasikan” Iraq sambil memberi, kononnya, amaran kepada Negara-negara Arab yang lain agar berfikir untuk berbuat demikian. Kesan langsung dari itu, kali pertama saya lihat kain rentang pilihanraya (majlis bandaran) di Madinah, Saudi Arabia, negara sistem beraja, yang belum pernah berlaku sebelum ini, dan tidak pula berlaku selepas itu. Pilihanraya Mesir 2005 diadakan dalam 3 pusingan. Pusingan 01 sangat bebas menyebabkan Ikhwan Muslimin akhirnya mendapat 88 dari 444 kerusi Parlimen, iaitu kira-kira 20% !!. Pusingan 02 dan 03 menyaksikan penipuan yang tiada tolok bandingnya. Namun setelah 5 tahun berlalu, “seruan Demokrasi” oleh Amerika telah reda, Mesir kembali kepada sikap asalnya. Dalam Pilihanraya 2010 bulan November lalu, Ikhwan Muslimin tidak dimenangkan walaupun untuk mendapat 1 kerusi pun !! Di sini, rakyat merasa sangat tertipu dan dihina, lalu menyumbang kepada Intifadhah yang sedang kita saksikan.

Sehingga ke dekad atau kurun mana Yahudi, melalui Amerika dan Negara-negara Barat, akan dapat memperkudakan pemimpin Negara-negara Arab ? Masadepan umat Arab, seperti juga banyak umat Islam yang lain, adalah terletak pada umatnya, bukan pemerintahnya yang berkiblat Barat, terang-terangan atau sembunyi-sembunyi.

Kantoi !! Begini akhbar utama Mesir, Al-Ahram, menyiarkan foto persidangan lima negara mengenai isu Palestin di kediaman Presiden Amerika, “White House” tahun lalu.

Pendek kata jurang diantara pemerintah dan rakyat terlalu jauh, begitu juga jurang kekayaan diantara sebilangan kecil penduduk yang menikmati kekayaan hebat Mesir dengan kebanyakan penduduknya yang malang adalah juga sangat jauh.

Umat yang hidup adalah umat yang berani dan berkorban menuntut hak walaupun mereka hidup sederhana, manakala umat yang mati adalah umat yang tidak bertindakbalas walaupun dihina dan dikalahkan, walaupun mereka mewah. Setelah umat Melayu kehilangan Temasik pada tahun 9.81965, pulau Timur Timor pada 20.5.2002 dan pulau Batu Putih, Johor 23.5.2008, mereka akan kehilangan Tanjong Pagar pada 1.7.2011 ini.

Dunia kini terbahagi dua, pihak yang berharap agar Intifadhah Mesir 2011 ini gagal, mereda, regim Mubarak terus berkuasa dan mencengkam rakyatnya dan segala kepentingan Barat dan Israel terus terpelihara, manakala satu pihak lagi berdoa agar Intifadhah berkat ini terus menerus berterusan hingga berjaya menundukkan regim Mubarak. Jika berjaya ia bukan sahaja satu sejarah Mesir yang baru, akan tetapi oleh kerana Mesir adalah abang sulung kepada semua negara-negara umat Islam, memiliki Terusan Suez, bersempadan dengan Israel, memiliki bilangan ulamak dan pendakwah yang teramai di dalam dunia Islam, kejayaan Intifadhah ini adalah satu sejarah dunia yang baru. Ia akan merubah kesemua formula dan percaturan politik, ekonomi dan budaya seluruh dunia !!

“Kami ingin menganugerahkan orang-orang yang tertindas di mukabumi. Kami hendak menjadikan mereka imam-imam (di tempat mereka). Kami hendak menjadikan mereka orang-orang yang mewarisi (kepimpinan dunia). Kami meneguhkan mereka di mukabumi. Kami (hendak) memperlihatkan Firaun, Haaman dan tentera-tentaranya apa yang mereka takutkan (kebangkitan dan kekalahan)” (Al-Qasas : 5).

Semoga Allah swt memenangkan hamba-hambaNya yang soleh, menerima mereka yang gugur dalam perjuangan sebagai para Syuhadak, menanam kesabaran kepada ahli keluarga mereka, meneguhkan pendirian pejuang-pejuang Kebenaran sepanjang zaman di seluruh pelusuk dunia. Ameen.

Ustaz Halim  http://www.inijalanku.wp.com

**********

Terjemahan dari al-Jazeera:

Syeikh al-Qaradawi Seru Mubarak Lepas Jawatan
Dicatat oleh al-Faqir Ila ALLAH Ta’ala pada 30.1.11

Ketua Kesatuan Antarabangsa Cendekiawan Muslim, Sheikh Yusuf al-Qaradawi, meminta Presiden Mesir Hosni Mubarak agar mengangkat kaki secara pilihan sebelum beliau akan pergi secara paksaan. Beliau perlu mengambil pengajaran dari nasib Presiden Tunisia, Zine el Abidine Ben Ali. Sheikh Yusuf al-Qaradawi menggambarkan sistem pemerintahan Mesir sebagai tidak mengerti dan tidak berfikir. Ianya buta tidak melihat, tuli tidak mendengar, serta bodoh tidak memahami.

Al-Qardhawi menyeru Mubarak melalui al-Jazeera katanya, “Pergilah, wahai Mubarak, jika ada di hatimu sedikit rasa belas kasih, atau ada dalam kepalamu sedikit akal yang berfikir”. Beliau meminta Mubarak agar merasa belas kasihan terhadap dirinya sendiri serta ahli keluarganya. Kuasa kerajaan itu jika dianggap sebagai peluang keemasan maka cukuplah tempoh tiga puluh tahun itu, dan jika dianggap sebagai hukuman denda pula, maka cukuplah juga tempoh tiga puluh tahun itu.

Al-Qaradhawi menyarankan Mubarak agar melepaskan kepimpinan dan meninggalkan Mesir yang sudah kehilangan berbilion-bilion wang. “Jangan kamu hancurkannya dan duduk di atas kehancuran tersebut. Pergilah, wahai Mubarak”. Beliau menambah bahawa puluhan pemuda telah gugur dalam tempoh satu hari dalam menuntut hak mereka, “Tapi kamu dan askar kamu pula telah membalas mereka dengan peluru hidup.”

Al-Qaradawi menambah, “Tidak ada lagi tempat untukmu, wahai Mubarak. Saya minta kamu untuk keluar mengangkat kaki”, untuk diadili dan dibicara sesudah itu oleh mahkamah awam dan bukannya oleh mahkamah tentera, “yang kamu bina untuk mendakwa pihak lawanmu, lalu kamu menghukum mereka dengan hukuman yang zalim”, di bawah undang-undang darurat, dan sesungguhnya “bagi orang zalim itu ada kesudahnnya, dan tidak ada seorang pun yang mampu untuk melawan sejarah. “

Sheikh al-Qaradawi menganggap bahawa Mubarak tidak memahami mesej dari rakyat, malah keluar dengan ucapan yang menunjukkan bahawa ia tidak merasakan apa yang terjadi. Dia berada “dalam dunia yang bukan dunia kita, tidak merasa kelaparan orang yang lapar, atau kesakitan orang yang terluka,” dan mempersoalkan pula faedah untuk membubarkan kerajaan, sementara ia tidak mengatakan apa yang seharusnya dikatakan iaitu membubarkan Dewan Syura dan Dewan Rakyat serta menghapuskan undang-undang darurat.

Rakyat dan Tentera

Dalam ucapannya, al-Qaradhawi mengalu-alukan rakyat Mesir atas kebangkitan mereka melawan situasi korup yang telah banyak mereka bersabar terhadapnya, seperti kesabaran mereka melihat ramai orang mengaut kekayaan negara serta menikmati keuntungannya, sedangkan mereka tidak mampu mencari makanan harian mereka.

Beliau menggambarkan kebangkitan rakyat Mesir sebagai pemberontakan secara aman, tidak ada kayu mahupun senjata, bagi menuntut kehidupan yang lebih baik serta rezeki yang halal, akan tetapi mereka dikejutkan pula dengan peluru hidup dari pihak pengawal keamanan, menyebabkan puluhan orang terbunuh.

Beliau menekankan bahawa para penunjuk perasaan yang sebenar tidak bertanggungjawab menyertai sebarang kes pencurian dan penjarahan. Beliau menasihati mereka, “Janganlah kamu sekali-kali memanjangkan tangan pada mana-mana harta milik institusi awam ataupun swasta, kerana itu adalah haram.”

Beliau turut menyatakan rasa bangga dan hormat terhadap tentera Mesir serta menyeru mereka untuk melindungi negara Mesir di masa mendatang tanpa campur tangan dalam hal pemerintahan. Beliau menuntut pihak tentera agar menyerahkan hal kuasa pemerintahan kepada rakyat dan pemilihan presiden dibuat sesuai dengan dasar-dasar syura dan juga demokrasi.

Sumber: al-Jazeera.

___________________________

http://inijalanku.wordpress.com/2011/01/30/medan-at-tahrir-kaherah-menjadi-medan-asy-syuhadak/

Gunung…

Sungguh, mendaki itu sukar… sumber: http://viart.deviantart.com/art/In-front-of-the-mountain-110230785

Pernah aku terfikir selama ini:  Bertahun lamanya kita sebenarnya diasuh dan diajar oleh ibu bapa kita, sahabat-sahabat kita, guru-guru kita, murobbi-murobbi kita, kehidupan kita secara lansung mahupun tidak lansung.

Tiap kali makan, makan percuma. Tiap kali silap dan salah, dinasihati dan disantuni. Tiap kali dalam kesusahan, dibantuin. Tiap kali alpa, diingatin. Tiap kali hanyut, ditarik semula. Tiap kali leka, dikejutkan. Semua ini seolah-olah seperti mempersiapkan kita untuk mendaki sebuah gunung yang cukup tinggi. Ya, mendaki gunung.

Sedar atau tidak sebenarnya tempoh masa itu kita umpama mendaki bukit-bukit atau mungkin gunung yang arasnya seperti Gunung Ledang mahupun Gunung Kinabalu. Kalau dahulu kita melihat diri kita berjaya, kita cukup bangga dengan pencapaian kita. Getus hati, “Hahaha, Gunung Tahan tumpas di tangan ku. Gunung Kinabalu sudah kutawan. Aku berjaya.” Maka, setahun atau dua tahun selepas itu, bangga kita itu hanya tinggal bangga. Tak lebih dari itu. Kita tersenyum puas dengan apa yang kita capai dahulu dan bukan apa yang kita capai sekarang.

Ironinya, saat waktu kini, kita tidak lagi mencabar gunung-gunung tersebut. Bukit-bukau sudah tidak lagi kita cuba tawan, apatah lagi gunung-ganang yang lebih tinggi. Kita puas dengan sekadarnya. Kita tidak sedar rupanya, pencapaian kita dahulunya itu tidak membawa erti besar. Maksudku, pencapaian kita menawan Gunung Kinabalu rupanya hanyalah persiapan kecil bukan matlamat utama.

Matlamat utama kita ialah menawan Gunung Tertinggi di dunia. (Ustaziatul ‘Alam)

Kemudiannya, kita mula melihat sahabat-sahabat kita yang dahulunya Gunung Kinabalu itu cukup sukar untuk ditawan, tapi sekarang sudah mula mencabar gunung-gunung di Banjaran Himalaya. Bahkan melihat rakan-rakan lain yang tidak mendapat persiapan rapi seperti kita (yang kita sahaja anggap ia rapi, orang lain tidak), mampu mencabar lebih tinggi dari kita kini.

berjaya menawan gunung

Sahabat,

Ini hanya satu analogi yang cuba aku bawakan. Bagi siapa yang berjaya dalam “persiapan” yang mereka sendiri anggap rapi, mereka mula menikmati nikmat dan perasaan turun dari gunung. Mereka mula tertipu dengan perasaan “puas” tatkala turun dari gunung-gunung itu. Nikmat turun dari gunung membuat mereka alpa akan tujuan sebenar mendaki. Ya, turun itu kan lebih nikmat dari mendaki. Bahkan lebih mudah dari mendaki.

Sahabat-sahabat yang lain pula faham dan tahu perasaan jatuh bangkitnya mendaki. Perasaan meluap-luap untuk mahu mencabar. Mencabar yang lebih tinggi. Kerana apa? Mereka mungkin tidak merasakan “persiapan” yang mungkin rapi sepertimana golongan sebelumnya. Akan tetapi, bagi mereka, rapi atau tidak, mereka faham dan sedar itu hanyalah sebuah “persiapan” bukan tujuan dan matlamat utama. Dan kini, mereka lebih hebat dari kita. Ya, lebih hebat.

Kehidupan dakwah juga begitu. Setelah lama kita melalui “persiapan”, banyak yang terjadi kita sudah puas dan cukup dengan kehidupan dakwah yg kita miliki kini. Detik hati kita, “Alhamdulillah, aku sudah jadi muslim/ah yang baik.” Jangan kita terpedaya dengan kehidupan yang kita lihat seolah-olah sudah pun mencapai tujuan utama kita. Mungkin apa yang kita lihat sebenarnya masih lagi dalam “persiapan” itu.

Ini hanya peringatan buat diriku dan diri kita. Bukan apa,

Takut kita terlupa tentang [hatta la takuna fitnah].

Takut kita terlupa kehidupan dakwah itu tidak akan pernah berakhir dengan perkataan “aku sudah jadi baik”.

::Futur::

Mari, mari, marilah..

“Cari, cari, carilah…” (petikan lirik Cari pasangan oleh Rabbani)

Apa kata kita tukar kepada “Mari, mari, marilah…”

Semarakkan ruh Ramadhan dalam kehidupan seharian kita.. Hidupkan ruh tarbawi dalam bulan yang mulia ini. Mari.. mari.. Marilah..

  • Tilawah quran 30 juzuk
  • Budaya membawa mushaf quran
  • Tahajjud 2 rakaat setiap malam
  • Hafal dan tasmi’ juz 30
  • Rehlah masyi (berjalan kaki) 3km dan tazkirah badar
  • Iftar bersama rakan2
  • Infaq RM1 setiap hari
  • I’tikaf jamaie 2 malam
  • Istighfar 100 kali sehari
  • Mari.. Mari.. Marilah…

    Follow

    Get every new post delivered to your Inbox.

    %d bloggers like this: